Asohan Budi by Za'ba


Asohan Budi
Title : Asohan Budi
Author :
Rating :
ISBN : -
Language : Malay
Format Type : Hardcover
Number of Pages : 317
Publication : First published January 1, 1958

Mengandungi 10 perbahasan darihal budi, ekonomi, budaya dan akhlak bangsa Melayu-Islam

Zainal Abidin Ahmad, juga dikenali sebagai Za'ba merupakan seorang sasterawan dan pemikir Melayu keturunan Minangkabau yang giat menulis sekitar tahun 1940-an. Berdasarkan pencapaiannya dalam bidang kesusasteraan, beliau merupakan salah seorang budak kampung yang berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia.

Beliau merupakan seorang cendekiawan Melayu yang dihormati dan selama hampir 40 tahun, aktif dalam kegiatan penulisan termasuk penterjemahan. Aktiviti beliau juga tertumpu kepada penerbitan buku sekolah dan bacaan umum di Biro Penterjemahan, Maktab Perguruan Sultan Idris.

Dilahirkan di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Negeri Sembilan, Za'ba menerima pendidikan awalnya di sebuah sekolah Melayu di Linggi. Beliau menyambung pembelajarannya di Institusi St. Paul Seremban dan merupakan orang Melayu pertama menduduki peperiksaan Senior Cambridge dan lulus peperiksaan pada 1915.

Za'ba memulakan kerjayanya sebagai guru sekolah di Johor Bahru pada tahun 1916, dan kemudiannya bertukar ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (1918), Jabatan Pendidikan, Kuala Lumpur (1923), Kolej Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (1924), Jabatan Maklumat, Singapura, (1939 sehingga 1942), Pusat Pengajian Kajian Timur dan Afrika, Universiti London (1942 sehingga 1951), dan Universiti Malaya, Singapura sehingga (1951 sehingga 1959).

Za'ba adalah seorang yang gemar membaca dan memiliki bakat dalam bidang penulisan. Kebanyakan hasil penulisannya muncul dalam akhbar-akhbar tempatan dan majalah-majalah seperti Utusan Melayu, Lembaga Melayu, Pangasuh, dan Pakar Majalah. Beliau telah menerbitkan beberapa siri monograf dalam bahasa Melayu, termasuk Bahasa Pelita, dan Ilmu Mengarang. Hasil penulisannya yang lain termasuk Cerita-cerita Shakespeare yang diterbitkan oleh Percetakan Gudang Chap, Singapura.


Asohan Budi Reviews


  • Norziati

    Sudah lebih 60 tahun buku ini ditulis, masih kekal relevan dengan suasana masa kini. kita perlu baca kembali Asuhan Budi sebagai naskhah tinggalan Pendeta yang penting kepada orang Melayu. Banyak nasihatnya perlu kita teliti dan amalkan agar tidak terheret dalam lembah kehinaan. Terima kasih tuan pendeta

  • dausshassan

    Rangkuman 10 bab dari makalah Asuhan Budi ini tidaklah begitu berat bacaannya. Tetapi ianya dikarang dgn dedikasi dan tertib. Maka, memerlukan pemerhatian yang tinggi saat membacanya. Mungkin ianya dipengaruhi oleh kitab thurath, keadaan semasa & alamat penulisan dari seorang pendeta.

    Di permulaan bicara buku. Za'ba telah membincangkan tentang kepentingan kemuliaan perilaku sebagai seorang manusia. Betapa pentingnya kita mencontohi akhlak yang telah diajarkan oleh utusan-Nya kerana hadirnya beliau dgn bersebab, sebabnya untuk membetuli akhlak dan membawa rahmat. Sekiranya diperhalusi dan diamati akan acuan untuk menghasilkan lembaga budi itu amatlah penting untuk membentuk budi insani agar mengamalkan qanaah di setiap hal dan tidak berlebihan dalam menjamu syahwat.

    Paras rupa boleh diubah dengan tambahan solekan, ubatan, alatan dll. Begitu juga fi'il boleh diubah dengan ikhtiar untuk membetuli akhlak, ilmu, amalan dan ketaatan. Jelaslah ianya mesti dilakukan dgn azam yg sepenuhnya bergantung kepada sikap sendiri. Bakal hilanglah peri akhlak, terbatal balasan kebaikan dan hancurlah tamadun diri sekiranya manusia mencuba untuk membelakangi tuntunan agama.

    Bahasan yang menarik pada amatan saya ada di bahasan ke-4. Iaitu "didikan kepada anak-anak". Dunia fana ini bukannya membolehkan anak-anak memilih atau menentukan siapakah ibu bapa mereka. Malahan, mula bertatihan pun selalu rebah, inikan hendak membentuk jati diri dengan sendirinya. Tidak lain dan tidak bukan kewajipan itu terletak di bahuan ibu bapa mereka jua. Didikan yang sepatutnya wajiblah diberikan secukupnya dari kecil sehingga meningkat dewasa lalu giliran mereka menjadi ibu bapa pula.

    Hal institusi pendidikan awal yang bermula dari rumah sendiri amatlah penting kerana makhluk manusia yang mampu bersenyawa akan menghasilkan nyawa baharu(anak) lalu dapatlah diaruskan nasab dan akhirnya dapat membentuk kelompok masyarakat. Akibat dari pengabaian perihal tersebut boleh menyebabkan tercicirlah anak, membawa pula kepunahan masyarakat dan merosakkan tamadun umat.

    Keutuhan akhlak terbentuk dalam diri anak-anak apabila mula diajari kepada mereka itu dengan bercakap benar dan perlu sertakan penerangan mengapa tidak boleh diperbuat aniaya atau jahat kepada orang lain. Contohnya, jika mereka mengambil hak orang lain, hendakkah mereka ingin juga merasa keperitan dan kekecewaan akan kehilangan sesuatu barang miliknya. Apa pun terasnya, ia mesti bermula dari tauladan induk mereka iaitu tidak seperti ketam mengajar anaknya supaya berjalan lurus, sedangkan dia tidak. Ibu bapa perlulah ingat bahawasanya, sebelum mereka mendapat hak sebagai ibu bapa, mereka terlebih dahulu yang perlu melunasi hak ke atas anaknya supaya tidak terbit perkataan derhaka di kemudian hari.

    Amalan berjimat cermat turut diperbahaskan buat peringatan supaya bersederhana di segala perbuatan mahupun sesetengah amalan agar wang lebihan dari pendapatan sesudah tanggungan boleh disimpan untuk persediaan masa hadapan. Tambahan lagi, amalan berjimat cermat ini bukanlah sampai kepada unjuran sifat kikir lalu menyembah wang seperti tuan mahupun tuhan melainkan ia adalah untuk diri sendiri dan membuat kebajikan di jalan Tuhan.

    Usahlah bodoh mengikut jabariyyah dalam bab menyimpan. Kita menyimpan untuk tidak susahkan orang, bukannya menakwil takdir tuhan yang akan datang. Bagi yang suka berhutang tujuan bermewah-mewahan, hinalah dikelih orang dari sikapnya suka berdalih sehingga berlari-larian membayar hutang dari orang yang memberi pinjam.

    Bahasan ibadat puasa pula tidak membahaskan dari hukum sah atau batal melainkan ia diperbahasakan lebih mendalam ke akar umbi iaitu hikmah dan cara sebetulnya memaknai ibadat mulia itu. Terdapat adat dan pengamalan telah ditokok tambah oleh manusia yang membawa kepada pembaziran, melaghakan dan jauh dari seruan menyebabkan terpesong jalan dari tuntutan agama.

    Tiap-tiap yang baik tentu disuruh atau disukai oleh tuhan. Sudah tentu ia berkaitan dengan kebaikan yang akan mendatang kepada diri sendiri dan orang lain. Tiada tingkatan superioritas yang diperoleh penganut agama Islam, ianya memang berpadanan bagi tiap-tiap orang.

    Mencapai ketinggian dunia akhirat kemestian buat para insan agar tidak berhati tikus dlm mengejar sesuatu yang didamba. Hal ini kerana ingin menempatkan himmah kita lebih meninggi biarpun kita masih ditelapak kaki kedudukannya. Himmah yang tinggi akan mempengaruhi segala kemahuan dengan disertakan usaha yang gigih, cekal melawan keadaan dan ligat akal memikirkan jalan dikala kebuntuan.

    Di pengakhiran bab, diperbahaskan "agama dan kemestiannya kepada manusia". Takrifan ringkas secara umum beragama bagi tiap-tiap agama yang ada di dunia lalu dibandingkan dengan agama yang sebenar. Terdapat soalan skeptis seperti, mengapa perlu beragama walhal manusia sudah mempunyai akal? Syarahan sebegini amatlah berguna bagi orang yang belum fasih kefahamannya terhadap pengertian menganuti sesebuah ajaran agama.

    Antara sebabnya adalah untuk membina tembokkan kepada manusia yang berakal agar bijak menimbang yang mana yang baik & yang mana bukan. Jika akal semata, condonglah amalan ke arah kesesatan kerana sememangnya nafsu gemar akan apa yang ia suka dan ia mampu mengubah akal yang sihat menjadi akal terencat(tidak pandai menimbang). Sempadan itulah antara tujuan manusia beragama agar manusia tidak tersesat jalan dan hidup dalam kebangsatan.

    Akhir sekali, Za'ba mengakhiri kalamnya dgn membahaskan pendidikan agama pada umat melayu. Kritisan jelas terhadap golongan melayu yang gopoh mengangkat seseorang menjadi lebai/ustaz walhal baru sahaja mengaji berapa kerat, berjubah ketayap dan tidak tahu pun berbahasa arab. Jika di istitusi persekolahan pula, apa yang diajari di sana tidak disertakan sekali makna dan maksudnya. Tenaga pengajarnya kadangkala tiada pengtaulihan dan murid dicampur aduk tanpa mengira tingkat kefahaman, umur, dan sesi pembelajarannya. Itu akan mengakibatkan murid tersebut tidak faham apa yang diajarkan oleh guru mereka.

    Dizamannya, masyarakat lebih memilih untuk menyekolahkan anak mereka di sekolah orang putih. Tanggapan mereka biarlah senang hidup memakan gajian dan perolehkan nama atau pangakatan. Sama sahaja di zaman sekarang, manusia berlumba-lumba untuk mengejar keduniaan biarpun tidak reti membaca al-Quran dan qiam untuk sembahyang.

    Demikianlah ulasan yang dapat saya huraikan biarpun masih terdapat banyak lagi isi yg boleh diperolehi dari pembacaan makalah ini. Sedikit sebanyak perkongsian ini dapat membawa sesiapa menelaah sekali untuk dapati mutiara kata supaya terasuh budi. Ilmu yang penuh manfaat ini akan menjauhkan dari keahmahan dan kejahilan diri lalu membuat persiapan rapi menjadi seorang manusia yang taklif. Sekian

  • Najihah Nor Hassan

    "Jika laku perangai dan budi pekerti orang-orang dalam sesuatu umat atau bangsa itu pada umumnya rendah dan lemah - seperti tiada kuat keyakinan kepada Allah, tiada kuat beramal dan bekerja, tidak cukup rajin dan usaha ikhtiar, tiada amanah, tiada benar pada tutur katanya dan janjinya dan perbuatannya, tiada percaya kepada kebolehan diri sendiri, tiada jimat cermat pada belanja dan harta benda, tiada pandai mencari harta atau menggunakannya; tiada pemurah dan tiada mahu memberi-beri pada jalan kebajikan; tiada berat pada mencari ilmu pengetahuan; tiada mahu berbuat baik jika tidak ada balasan atau faedah keuntungan bagi diri sendiri seperti nama dan kemegahan atau balasan pahala dan syurga; tidak ada keinginan hendak maju, tidak endah hendak memadankan diri dan melayakkannya bercampur dalam pergaulan masharakat yang telah berubah dan sediakala berubah serba-serbinya; sombong, congkak dan takabbur, zalim dan aniaya kepada sama-sama makhluk Tuhan, tiada kasihan dan tiada suka tolong-menolong, tidak ingat akan Allah dan nikmat Allah, dan tidak berat akan suruh larangan yang besar-besar dalam agama pada perkara baik dan jahat, dan, beratus-ratus sifat yang lain seumpama itu - maka walau apapun ikhtiar dibuat hendak menyelamatkan bangsa itu atau hendak membaiki kedudukan umat itu, tidaklah juga akan berhasil jaya dengan sempurnanya, baik pada tentang perkara dunia atau perkara akhirat." Ms. 23

    Terima kasih kepada Pak Affandi Hassan melalui bukunya Balai Maqamat itu, beliau menyarankan kita agar memperbanyakkan membaca buku-buku yg dipanggil wisdom literature atau yg mengandungi hikmat dalam panduan hidup seperti Asuhan Budi. Memang mustahak buku ini dibaca bagi membaiki dan mempertinggi kemuliaan akhlaq dan baik perangai.

  • Nuruddin Azri

    Buku Asuhan Budi ini merupakan buku kelapan oleh Pendeta Za’ba (1895 - 1973) yang pernah kutelaah dan mungkin merupakan karya kedua terbaik beliau selepas Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri.

    Lebih 14 tahun lalu, sewaktu berada di bangku persekolahan, nama Za’ba sering kali berkunjung tiba tatkala setiap tahun, Sayembara Menulis Khat dianjurkan di Teratak Za’ba di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir – beberapa minit sahaja daripada jarak sekolah – yang merupakan tempat kelahiran beliau. Sudah tentu, daya akal pada zaman persekolahan tersebut hanya sekadar tercapai pada mengenali beliau sebagai seorang tokoh penting Bahasa Melayu sehingga digelar pendeta. Tidak lebih daripada itu.

    Setelah membaca satu per satu hasil pena beliau (dari Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri, Mencapai Keluhuran Budi, Mencapai Ketinggian Dunia Akhirat, Bahasa Melayu: Kelebihan dan Kekurangannya, Pengembaraan ke Kedah, Perlis dan Kelantan, Kalung Bunga, Jejak-jejak di Pantai Zaman sehinggalah kepada Falsafah Takdir), pengalaman pembacaan menjadi berubah dan Za’ba pada hakikatnya bukan sekadar tokoh penting dalam Persuratan Melayu dan Tulisan Jawi, bahkan beliau merupakan salah seorang tokoh pengubah penting kelahiran Negeri Sembilan. Beliau cuba mengubah cara fikir masyarakat pada zaman beliau dari aspek keagamaan, pemikiran, pendidikan dan ekonomi.

    Buku edisi kedua (2020) terbitan Akademi Jawi ini (edisi pertama adalah pada 1958 oleh H. M. Shah Enterprise) merupakan salah satu manifestasinya dan ia merupakan naskhah yang agak menyeluruh dalam memahami gagasan idea dan alur fikir yang dibawa oleh beliau. Dalam buku ini, Za’ba mengangkat beberapa tema penting dalam beragama iaitu aspek akhlak, ibadah, ekonomi dan pendidikan.

    Jika kitab Ihya’ Ulumuddin dibahagikan kepada 40 bab (rubu’ al-‘adat, rubu’ al-ibadat, rubu’ al-muhlikat dan rubu’ al-munjiyat), dalam buku Asuhan Budi ini, Za’ba mencerakinkan gugusan ideanya kepada 10 bab. Za’ba (seperti Prof. al-Attas dan juga Hamka), cuba membahaskan setiap topik secara menyeluruh, dinamik dan seimbang di samping mengadun banyak dalil al-Quran, hadis, syair Arab dan pepatah Melayu lalu dikaitkan dengan realiti masyarakat pada zaman tersebut.

    Tiga bab yang pertama berkisar mengenai akhlak, kemuliaannya dan kewajipannya terhadap diri dan alam sekeliling. Kemudian Za’ba membahaskan secara mendalam mengenai ibadat (puasa, beramal, amar ma’ruf nahi munkar) dan agama Islam dalam empat bab. Di sini, pembaca dapat melihat bagaimana Za’ba menyanggah fahaman Marx yang mendakwa bahawa “agama adalah candu kepada masyarakat (religion is the opium of the masses)”.

    Terdapat satu bab terkait mengenai ekonomi (Za’ba juga pernah menulis karangan berkenaan punca kemiskinan orang Melayu bersama-sama dengan Ungku Aziz dalam Jejak-jejak di Pantai Zaman). Dalam bab ini, Za’ba mengupas mengenai amalan jimat cermat, zakat dan sikap bersederhana. Dua bab yang berbaki merupakan bab yang paling menarik kerana Za’ba menyinggung aspek pendidikan secara tuntas dan tidak berlapik-lapik.

    Menurut Za’ba, teras pendidikan itu bermula daripada kecil iaitu daripada ibu bapa dan guru sehinggalah kepada alam berkeluarga. Tingkah laku yang dibuat, adab yang ditunjukkan serta ilmu-ilmu yang diajarkan inilah yang akan membentuk akhlak seseorang insan. Seperti tokoh-tokoh pendidikan yang lain (Adler, al-Attas, Hamka, Postman dll.), Za’ba juga berpendapat, pendidikan itu bersifat sepanjang hayat dan pemahaman seseorang insan terhadap agama itu perlu sentiasa diperdalami dan dikuasai seiring dengan pertambahan usia. Ia tidak seharusnya bersifat beku kerana ia bakal menatijahkan komplikasi berangkai kepada individu, institusi kekeluargaan, masyarakat dan negara.

    Apabila menyentuh mengenai sistem pendidikan di kampung, bandar, sekolah dan kolej, Za’ba mengkritik halus terhadap masyarakat Melayu yang berkejar-kejar ingin mendapatkan pendidikan di Barat sedangkan ilmu agama (fardhu ain dan fardhu kifayah), penguasaan Bahasa Arab dan nilai akhlak masih belum berpaut kemas dalam sanubari mereka. Perlu diingat, Za’ba juga pernah belajar dan mengajar di SOAS, London pada 1947 - 1950 sebelum pulang ke Malaysia menjadi pensyarah bahagian Pengajian Melayu di UM selama enam tahun sejak 1953. Di London, Za’ba mempelajari Bahasa Arab dan Bahasa Belanda selain ilmu mantik, linguistik, sejarah Islam, Eropah Moden, Selatan dan Tenggara Asia.

    Jika diamati hampir kesemua karangan Za’ba, kita akan dapati bahawa tema teras yang diangkat oleh Za’ba ialah keseimbangan dunia dan akhirat. Kata Za’ba, “Jika seseorang berpengetahuan pada dunia sahaja, nescaya dia akan jadi orang tamak akan kelabaan. Sebaliknya, jika seseorang itu berpengetahuan agama sahaja, maka tiadalah luas cita-cita dan pandangannya. Maka, terlebih baik jika termasuk dalam berpengetahuan pada kedua-duanya sekali.”

    Kata Imam al-Ghazali, “Jika kamu mempunyai harta, kamu perlu menjaga harta tersebut. Jika kamu mempunyai ilmu, ilmu yang akan menjaga kamu.”