Title | : | Bahasa Melayu: Kelebihan dan Kekurangannya |
Author | : | |
Rating | : | |
ISBN | : | - |
ISBN-10 | : | 9789670627151 |
Language | : | Malay |
Format Type | : | Paperback |
Number of Pages | : | 63 |
Publication | : | First published January 1, 1954 |
Bahasa Melayu: Kelebihan dan Kekurangannya Reviews
-
Indah tersusun pandangan dan kritikan Za'ba terhadap bahasa kecintaannya. Sangat lunak dan manis dibaca dalam bahasa Melayu asli yang belum banyak dicemari dengan lenggok asing.
Sifat bahasa menurut Za'ba, boleh berkembang atau merosot, bergantung kepada betapa besarnya usaha kita dan keyakinan kita terhadapnya. Selain daripada sifat asli bahasa itu, dan pengaruh-pengaruh setempat, pemilik bahasalah yang perlu menyayangi dan memiliki rasa percaya diri yang tinggi terhadap bahasa sendiri.
Tersentak di akhir sekali dengan pesan Za'ba, mengenai nasib bangsa ini yang akan banyak tergantung kepada bahasanya. Andai bahasa ini tidak dipertahankan, kita mungkin kehilangan kebudayaan akhirnya, dan rentetannya pasti buruk sekali. -
Orang Melayu akan berasa Bahasa Melayu itu mudah apabila baru sedikit belajar, tetapi apabila sudah bertahun-tahun mempelajarinya, barulah dia sedar bahawa Bahasa Melayu ini tidak berpenghujung.
Koleksi transliterasi tulisan Jawi Za'ba ini membawa pembaca untuk menilai kembali laras bahasa yang dimiliki selain mempersoalkan kepentingan Bahasa Melayu itu sendiri.
Misalnya, penulis mempersoalkan apagunanya pembacaan sekiranya orang Melayu hanya berpuas hati dengan Bahasa Perbualan sahaja?
Penulis kemudiaannya menyebut beberapa istilah bahasa yang sering dipinggirkan oleh masyarakat kini lantaran Bahasa Pasar dan menyarankan kepada penuntut-penuntut lepasan luar negara untuk turut membaca karya-karya lama Bahasa Melayu yang kaya kosa kata.
Kata penulis, tidak mustahil untuk mereka yang melakukan pembacaan bermula karya Bahasa Melayu dari dahulu hingga kini mampu menguasai bahasa dan menulis lebih baik daripada penulis-penulis hebat hari ini kerana bahasa itu adalah bahasa kita. -
3.5 bintang sebab realitinya tak sampai jangkaan. Namun, mungkin juga sebab jangkaan saya di tempat yang salah, maka ia bukan buku yang dapat menjawab persoalan saya seluruhnya.
Jangkaan:
Antara persoalan saya ialah pada sifat perkataan yang wujud dalam BM. Kita ambil contoh ahli keluarga. Untuk adik beradik lelaki, kita ada abang dan adik lelaki. Perhatian bahawa tiada satu kata yang khusus untuk "adik lelaki". Manakala bahasa jepun menggunakan "onii-san" dan untuk abang dan "otouto" untuk adik lelaki. Perhati di sini bahawa terdapat kata yang khusus untuk adik lelaki. "Brother" pula digunakan untuk abang dan adik lelaki. Tiada perkataan khusus untuk abang atau adik lelaki.
Di tempat lain pula, kebanyakan perkataan perlu dijamakkan dengan perkataan yang lain untuk memberi maksud yang tertentu. Kita ada "sarapan" untuk makan pagi, namun tak ada "lunch" untuk makan tengahhari (sehingga baru-baru ini kita boleh "merarau" dan "mencicip" di waktu petang). Kita tak ada perkataan tunggal untuk "seat" iaitu "tempat duduk". "Pedestrian" kita adalah "pejalan kaki". "Politician" kita adalah "ahli politik". Mungkin di sinilah BM dilihat tidak dapat menjadi menuturkan fikiran dalam ilmu pengetahuan, kerana kurangnya perkataan tunggal untuk merujuk kepada sesuatu perkara.
Maka di situlah jangkaan saya tak dijumpai dalam buku ini.
Tentang buku:
Kulit buku ni cantik, ada texture and rasa mahal (dan sememangnya agak mahal untuk buku 66 muka surat) kerana ada nilai eksklusifnya. Sayang nak garis2 atau conteng.
Asalnya himpunan tulisan ini berasal dari akhbar mengikut keluaran masing2. Semuanya diterbitkan 3 tahun sebelum merdeka. Ketika ini masih ramai yang menggunakan jawi sebagai tulisan mereka. Tulisan rumi yang ada pun ditukar dari jawi dalam bentuk yang tak ada piawaian disebabkan pertukaran sistem tulisan pada masa ini masih sangat baru. Maka dalam buku ini ada beberapa cadangan dari Zaba untuk menyatukan dan piawaikan ejaan dari jawi ke rumi (supaya tulisan Rumi dalam Malaya dan Indonesia menggunakan cara ejaan yang sama).
Kelebihan BM ialah pada kebolehannya menyerap bahasa-bahasa dagang sebagai miliknya sendiri. Namun Zaba sendiri juga tahu bahawa BI juga mempunyai sifat kelebihan yang sama, dan disebabkan itulah sekarang BI berkembang sepertimana hari ini. Selain itu, kita mempunyai pelbagai bidalan, syair, gurindam, seloka, pantun dan simpulan bahasa yang membuatkan BM agak unik.
Kekurangannya yang ditulis dalam buku ini ialah kurangnya karangan (pada ketika itu) yang ditulis dalam BM jati. Kebanyakan hikayat2 lama diterjemah dari parsi, arab dan india yang menyebabkan jalan2 bahasa itu bukanlah jalan bahasa melayu jati. Maka dalam buku ini juga Zaba menyarankan agak penuntut2 pengajian tinggi untuk menulis sebolehnya dalam bahasa melayu untuk menggambarkan pemikiran dari perspektif orang melayu itu sendiri. -
Siapa berani membicarakan kelebihan dan - terutamanya - kekurangan bahasa Melayu kalau bukan Za'ba!
-
Saya cukup bertuah bertemu buku 𝘽𝙖𝙝𝙖𝙨𝙖 𝙈𝙚𝙡𝙖𝙮𝙪 𝙆𝙚𝙡𝙚𝙗𝙞𝙝𝙖𝙣𝙣𝙮𝙖 𝙙𝙖𝙣 𝙆𝙚𝙠𝙪𝙧𝙖𝙣𝙜𝙖𝙣𝙣𝙮𝙖 di perpustakaan. Tak fikir lama terus sahaja buat pinjaman di kaunter.
Buku ini merupakan usaha pihak Akademi Jawi memulihara ilmu dan nasihat yang dicurahkan oleh pemikir hebat tuan Pendeta Za'ba. Ia adalah gabungan nukilan Za'ba ketika menjadi penulis ruangan khas di Majalah Qalam, April hingga November 1954.
_____________________
Sepanjang bacaan, baru saya sedar banyak perkara yang saya tidak tahu tentang Bahasa Melayu dan tulisan Jawi. Bila membaca akan jasa dan peranan besar Bahasa Melayu dalam mengeratkan hubungan sosial, jambatan ilmu dan jaringan ekonomi. Rupanya kita banyak berhutang dengan bahasa sendiri.
Ya, memang wujud kelemahan Bahasa Melayu tapi patutkah ia ditinggalkan kerana sifatnya yang kecil? Za'ba acap kali memohon anak bangsa bijak pandai untuk menelaah lebih sedikit supaya dapat meluaskan lagi rangkaian Bahasa Melayu.
Ia juga antara cara untuk kita berbakti pada nusa bangsa.
_____________________
Jika awak juga seperti saya yang sering mempersoalkan perbezaan Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia. Ada pencerahan yang baik dalam buku ini.
Saya juga suka bila Za'ba membayangkan Bahasa Melayu seperti suatu entiti. Jadi ia wajib dijaga, disayangi, diberi kerja dan disuburkan.
Dari segi bukunya pula, pihak penerbitan langsung tak lokek dengan nota kaki. Terasa tamak bila membaca tambahan nota kaki yang menerangkan segalanya cukup lebar. Dibahagian belakang buku turut diletakkan penulisan asal Za'ba yakni dalam tulisan Jawi.
_____________________
Usai bacaan, saya terfikir apa agaknya pendapat Za'ba tentang penggunaan Bahasa Melayu kita di zaman ini. Risaukah beliau? Sukakah beliau?
Buku wajib baca untuk penutur Bahasa Melayu.
_____________________ -
Buku ini mengandungi 11 bab. Setiap bab merupakan makalah yang disiarkan dalam majalah Qalam, pada April hingga November 1954, sebuah majalah bertulisan Jawi.
Penulis membincangkan luasnya penggunaan bahasa Melayu yang meliputi hampir seluruh rantau Asia Tenggara terutamanya dalam pelbagai bentuk urus niaga rakyat tempat hingga wujud bahasa Melayu moden, selain terkenal juga dengan gelar bahasa surat, bahasa pasar dan bahasa kitab. Gelar tersebut muncul berdasarkan tempat bahasa Melayu itu digunakan dan cara penggunaannya. Hal yang demikian ini berikutan mudahnya bahasa Melayu itu disesuaikan dengan keadaan menyebabkan penggunaannya begitu meluas pula.
Walau bagaimanapun, sebagaimana terbukanya bahasa Melayu itu menerima beribu-ribu perkataan untuk disesuaikan dengannya, pengguna bahasa Melayu itu sama ada yang menuliskannya mahupun yang menuturkannya juga perlu berfikiran terbuka dan “mengurus” penggunaan bahasa Melayu itu dengan sebaik-baiknya. Bahasa Melayu juga boleh membicarakan hal yang dikatakan “berfikiran tinggi” kecualilah orang Melayu itu sendiri yang tidak mahu menggunakannya.
Buku ini sangat baik dibaca oleh pencinta bahasa Melayu bagi mengukuhkan kecintaan terhadap bahasa ini. Apatah lagi sejarah penggunaan bahasa Melayu juga terkandung dalam buku ini. -
Ini adalah tulisan Pendeta Za'ba dalam majalah Qalam yang bertulisan jawi dan dihimpunkan serta ditransliterasi oleh Klasika Media-Akademi Jawi Malaysia. Walaupun tulisan telah mencecah setengah abad (ditulis pada tahun 1955) namun ia masih relevan pada hari ini malah tidak keterlaluan jika dikatakan sesetengah tulisan yang bersifat meramal telahpun menjadi kenyataan.
Tuan Za'ba(seperti yang dibahasakan oleh editor majalah Qalam) memulakan tulisan dengan sejarah ringkas dan pengenalan kepada status bahasa Melayu di sekitar Nusantara serta imbasan kegemilangan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan di Nusantara yang dibandingkan dengan bahasa Perancis sekitar abad ke-16. Tuan Za'ba mengutarakan kelebihan bahasa Melayu yang menurutnya lebih mudah dipelajari serta bersikap terbuka dengan mudah menyerap perkataan yang baharu serta tatabahasa yang tidak mengelirukan. Saya teringat satu pembacaan sebelum ini bahawa ini merupakan sebab kenapa bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa rasmi Indonesia walaupun populasi Jawa lebih ramai(perlukan pengesahan fakta). Saya juga tertarik dengan petikan yang dimasukkan Tuan Za'ba ke dalam bab iaitu berbunyi lebih kurang bahaya bahasa Melayu itu tersangatlah mudah dipelajari namun mustahil untuk dikuasai.
Dalam bab-bab yang seterusnya tuan Za'ba banyak memperkatakan perbezaan Melayu moden dan Melayu lama yang kemudian dipecahkan lagi kepada bahasa surat dan bahasa kitab. Tuan Za'ba juga mengkritik penulis dan penterjemah yang mempunyai ijazah luar negara yang menterjemah secara semborono tanpa mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bahasa Melayu yang digelar tuan Za'ba sebagai bahasa dagang dalam kitab Melayu dagang. Saya tertarik dengan hujah ini kerana ini semakin ketara pada hari ini yang lebih diburukkan apabila mereka yang sedemikian memegang jawatan penting di peringkat atasan (higher echelons) lantas wujudlah "hipertensi" satu pemerkosaan bahasa apabila "darah tinggi" sudah wujud, serta kota yang diberi nama "presint", "parcel" dan lain lagi yang melambangkan "inferiority complex" yang juga disentuh oleh Tuan Za'ba yang menegur mereka yang menganggap bahasa Melayu lebih rendah berbanding bahasa dagang yang mereka kuasai. Akan tetapi Tuan Za'ba tidaklah menghalang malah beliau menggalakkan lagi usaha menterjemah dan mengarang asalkan mempunyai niat yang ikhlas ingin belajar kerana Tuan Za'ba beranggapan jika mereka tidak merasakan bahasa Melayu itu lekeh nescaya lama kelamaan mereka akan menghargai dan memahami bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Saya menyokong sepenuhnya saranan tuan Za'ba untuk terus memperbaiki bahasa Melayu dan seterusnya meninggikan darjatnya sebagai bahasa persuratan dan sains. Jika sebelum ini kita dihebohkan dengan usaha pemindahan teknologi maka adalah baik jika kita turut berusaha untuk pemindahan istilah dan konsep dengan mengikut kaedah yang tepat. Saya kira setiap yang pakar dalam bidang masing-masing seperti perubatan, fizik, falsafah, dan lain-lain perlulah mendalami bahasa Melayu dengan kaedah yang tepat dan tertib supaya pemindahan ilmu itu akan berlaku. Usaha penterjemahan haruslah digiatkan dan bukanlah tertumpu kepada kesusteraan semata-mata namun sains jua. Semoga satu hari ini bahasa Melayu akan menajdi seperti apa yang diimpikan oleh Pendeta Za'ba. -
Karangan-karangan ini ditulis oleh Za'ba beberapa tahun sebelum Malaya mencapai kemerdekaan (Tahun 1954) dan disiarkan di Majalah Qalam selama 8 keluaran. Tuan Za'ba menulis tentang kelebihan Bahasa Melayu yang telah menjadi Lingua Franca yang digunakan di seluruh Kepulauan Melayu walau apa pun etnik dan dialek mereka. Adapun bahasa ini, jika dibandingkan dengan bahasa-bahasa tertua di dunia masih banyak kelemahan dan kekurangannya.
Tuan Za'ba juga menasihati penuntut-penuntut Melayu yang belajar di Eropah atau Tanah Arab agar mengambil berat dan memperkajikan bahasa yang diturunkan oleh nenek moyang mereka ini. Jika ada yang kurang, maka perbaikilah dan gunakan ilmu yang ada itu untuk menaikkan martabat bangsa, budaya, dan agama. Beliau juga memesan agar kita sentiasa mengingati jasa tokoh-tokoh Bahasa Melayu dari kalangan orang Barat yang telah mengenalkan bahasa dan budaya kita kepada bangsa-bangsa mereka.
Mungkin itu adalah salah satu daripada hikmah Tuhan apabila orang-orang Barat itu datang ke Kepulauan Melayu ini, bukanlah semata-mata untuk menyusahkan. Di setiap yang buruk, pasti ada juga baiknya. Namun, untuk memperkayakan Bahasa Melayu ini, seharusnya bangsa Melayu sendirilah yang perlu 'menaikkan darjatnya'. Dan tidaklah naik sesuatu bahasa, melainkan bahasa itu menjadi sumber kepada ilmu pengetahuan yang ada di dunia ini.
Berhentilah memandangkan rendah terhadap bahasa dan budaya peninggalan nenek moyang kita, dan bekerjalah untuk memajukannya, agar generasi seterusnya akan merasa bangga pula. Wallahu'alam. -
Penelitian pendeta bukan sekadar teori-teori bahasa, bahkan perangai masyarakat penuturnya jua.