Title | : | Mencapai Ketinggian Dunia Akhirat |
Author | : | |
Rating | : | |
ISBN | : | - |
ISBN-10 | : | 9789836209535 |
Language | : | Malay |
Format Type | : | Paperback |
Number of Pages | : | 152 |
Publication | : | First published January 1, 1989 |
Mencapai Ketinggian Dunia Akhirat Reviews
-
Apa yang boleh disimpulkan buku Mencapai Ketinggian Dunia Akhirat yang mengandungi 15 rencana, dihimpunkan daripada majalah sekitar tahun 1952-1953 ini kebanyakan rencana telah pun dibukukan di dalam Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri dan Mencapai Keluhuran Budi.
Topik yang dibincangkan berputar sekitar usaha mencapai kemajuan diri tanpa bergantung harap pada orang lain, mencapai ketinggian budi dan akhlak sesuai dengan ajaran agama yang turun kepada manusia iaitu membetulkan akhlak.
Bagi sesiapa yang sudah membaca Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri dan Mencapai Keluhuran Budi, maka buku ini boleh dianggap sebagai ulang kaji pada naskhah yang sebelumnya. -
Koleksi 15 artikel Pendeta Za'ba dari Majalah Qalam sekitar tahun 1952 & 1953. Zaman pra-merdeka. Artikel-artikel yang ditujukan khas buat bangsa beliau bangsa Melayu, memperincikan bagaimana untuk memajukan bangsa dan negara pada ketika itu, bermula dengan memajukan diri sendiri dahulu.
Selayaknya sebagai salah seorang pemikir Melayu tersohor sehingga kini, pemikiran beliau sememangnya merentasi zaman. Bahkan semua artikel beliau ini masih relevan sehingga kini, kerana ternyata masih terdapat lagi orang Melayu yang tidak berupaya menggunakan sepenuhnya potensi diri. Masih suka lagi mengharapkan bantuan dari orang lain mahupun bantuan dari kerajaan, serta tidak percaya diri itu mampu buat yang terbaik, jika kena dengan usahanya.
Kerana isinya yang relevan, saya ringkaskan setiap bab seperti di bawah. Semoga bermanfaat, dan dapat menggoda anda untuk turut mencari buku ini dan mengambil manfaat daripadanya;
1. Bagaimana untuk menjadi Muslim versi yang terbaik buat diri sendiri di dunia & akhirat. Bercita-cita tinggi untuk kehidupan dunia, dan seiring juga dengan akhirat. Jangan cepat berpuashati, selesa dengan apa yang ada. Sentiasa berniat dan berusaha untuk tinggalkan sesuatu di dunia sebagai penerus legasi & penyumbang tetap pahala untuk kehidupan di atas sana. Ilmu bermanfaat, buku-buku berguna, idea besar, kebaikan yang berpanjangan dan sebagainya.
2. Beri yang terbaik dalam setiap perbuatan & kerja, kemudiannya berserah kepada Allah untuk kesudahannya. Percaya setiap manusia dikurniakan kelebihan tersendiri, disamping kekurangannya. Perlu kuat azam hati, bersungguh-sungguh & percaya kebolehan diri dalam melakukan setiap perkara.
3. Cara memupuk kelebihan diri & memperbaiki kekurangan diri. Kisah seorang kuli asalnya yang akhirnya menjadi pemerintah Mesir, Syam & 2 tanah haram Kafur Al-Iksyidi perlu dijadikan inspirasi. Juga dalam bab ini bagaimana bahayanya pegangan akidah Qadariyah & Jabariyah jika tidak diimbangi seeloknya. Berada di jalan pertengahan yang paling baik menurut ulama.
4. Pentingnya meniru sehabis mungkin akhlak Rasulullah. Kerana tujuan utama Rasulullah dilantik Allah menjadi Nabi terakhir adalah bagi memperelokkan lagi akhlak orang Islam pada ketika itu & sehingga kini. Akhlak itu cerminan Islam yang asli, perlu sentiasa diperbaiki & dititikberatkan.
5. Akhlak & modal insan tinggi melahirkan bangsa yang berjaya, menjadikan agama disegani, dan akhirnya mewujudkan tamadun yang kekal lama. Belajar dari zaman Rasulullah & sahabat, kepada zaman Bani Umaiyah, Abbasiyah, tamadun Mesir, Rom dan Parsi Purba, tamadun Islam di Andalus & Turki Uthmaniyah, dan tidak lupa juga tamadun Islam Mongol di India & Melayu Islam Melaka. Semuanya bermula, berjaya dan merudum kerana apa? Akhlak penduduknya yang menjurus kepada kemundurannya.
6. Peri pentingnya meningkatkan kelebihan & kebaikan diri demi menjalankan 3 kewajiban seorang manusia. Kewajiban terhadap dirinya sendiri, terhadap orang lain & makhluk lainnya, dan terhadap Allah.
7. Kewajiban atas diri sendiri. Dari segi kesihatan & harta benda. Pentingnya menjaga kesihatan diri secara fizikal dengan sebaiknya supaya dapat menjalankan kewajiban diri semaksimumnya. Serta perlunya menggunakan harta benda hasil pencarian sebijaknya. Tidak terlalu boros & tidak terlalu kedekut.
8. Perlunya sentiasa meningkatkan keupayaan hati, akal & rohani. Sentiasa menambah ilmu pengetahuan dan sentiasa yakin dengan kelebihan diri & peka dengan kekurangan diri. Cuba menggunakannya dengan sebaik mungkin.
9. Perlunya menjaga keselamatan diri & sekeliling. Tidak menyusahkan atau mencabuli hak orang sekeliling. Begitu juga seterusnya dalam bermasyarakat dan bernegara. Perlu tahu etika berperang dalam Islam bagi mempertahankan diri. Perlu juga sentiasa memperbaiki perangai diri sendiri. Semakin elok perangai, semakin tinggi tingkat iman. Memperbaiki perangai diri sama seperti menambah ilmu pada diri. Kewajiban diri untuk sepanjang hayat.
10. Pentingnya untuk menjaga akhlak sendiri bagi memastikan kesihatan jiwa & rohani yang sentiasa baik. Bagaimana ingin sisihkan pemikiran jahat & tabiat kurang baik. Hakikat diri kita dihormati oleh orang lain, bukanlah semata kerana pangkat, taraf & kekayaan kita sahaja. Orang biasa, orang miskin, yang dilapangan berbeza juga boleh dihormati & dipandang tinggi oleh masyarakat sekelilingnya.
11. Perlunya mengawal nafsu rendah didalam badan. Nafsu perut & syahwat yang berlebihan. 3 tingkat nafsu menurut Islam. Nafsu yang jahat, nafsu yang mencegah dari yang jahat, dan nafsu yang telah tenang.
12. Pentingnya mengusahakan segalanya dengan sendiri baik urusan dunia mahupun akhirat. Tidak disukai agama jika suka mengharapkan bantuan orang lain sahaja, mahupun berserah tawakal sepenuhnya sahaja. Insan mandiri melahirkan bangsa yang mandiri, seterusnya melahirkan tamadun yang maju.
13. Perlunya percaya & bergantung pada diri sendiri dalam segala perkara. Jangan biasa mengharapkan pada bantuan manusia lain & pemerintah sahaja. Belajar dari kaum Cina bagaimana mereka berusaha bersusah-payah dalam berniaga & memberikan pendidikan yang terbaik buat anak-anak mereka, hasil usaha sendiri sahaja. Bagaimana ibu bapa berperanan besar dalam membentuk keperibadian anak-anak dari kecil untuk membiasakan diri dengan berdikari.
14. Dalam beragama juga perlu bergantung pada diri sendiri. Perlu gunakan akal. Bukan hanya mengikut sahaja bertaqlid buta, mengikut perilaku tinggalan datuk moyang sahaja. Bagaimana dengan contoh dahulukala, dengan kebebasan berfikiran di kalangan alim ulama lah yang telah mewujudkan pelbagai mazhab untuk aliran fikah, tauhid dan tasawuf.
15. Alat yang diperlukan untuk membolehkan diri untuk berijtihad sendiri dalam beragama. Perlukan alatan & ilmu yang cukup bagi melayakkan diri untuk berbuat sebegitu, bukannya dengan hentam keromo berijtihad mengikut nafsu sahaja. Dari orang biasa ke alim ulama perlunya sentiasa meningkatkan kefahaman dalam beragama mengikut tahap penguasaan agama mereka semua secara kendiri. Mengikuti mazhab, aliran yang sedia ada setelah maklum akan sumber rujukan & logik tidak logiknya.
Kesimpulannya, buku wajib baca oleh semua orang Melayu tidak kira usia mahupun generasi. Kerana ternyata Pendeta Za'ba memang mengenali serta arif benar dengan kekuatan & kelemahan bangsanya sendiri, luar dan dalam.
Kerana meningkatkan diri itu kerja sepanjang masa, bukannya seketika. Jadi kita perlu sentiasa berusaha ke arah itu. Untuk menjadi versi yang terbaik buat diri kita sendiri.
Beralih kepada buku beliau yang seterusnya,
Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri -
Isi yang baik. Lebih baik kalau hadis2 dalam buku ini ditakhrij/tahqiq. Juga terdapat kesalahan imlaiyyah pada teks2 arab.
-
Mengambil masa tiga hari untuk menghabiskan bacaan tentang nasihat dan kritikan daripada Za'ba. Sungguh buku ni menyejuk dan memujuk hati pada sesiapa yang membacanya tentang dunia selain daripada ianya pembuka tahun baharu saya.
Amalan pada dunia dan akhirat wajib seimbang, tidak boleh timpang dan tidak boleh berat sebelah. Carilah kedua-duanya. -
Buku ini ialah himpunan rencana-rencana yang dikarang Zaaba buat Majalah Qalam, rata-ratanya ditulis pada awal era 50-an. Isinya sederhana dan ronanya begitu hampir dengan bukunya yang lagi satu itu, Mencapai Keluhuran Budi sehingga andai dijamakkan antara buku ini dan buku itu nescaya tiada perbezaan ketara pada gaya atau isi terdapatkan.
Isu memperbetuli perangai dan mengenalpasti kewajipan-kewajipan yang harus dipenuhi terhadap diri sendiri mengambil ruang yang terbesar dalam buku ini. Sering kali Zaaba yang memperindahkan rencananya dengan ayat-ayat Quran dan syair Arab dan cuma kadang-kadang sahaja didatangkan bidalan Melayu lama atau kontemporari. Andai buku ini diterbitkan pada dinihari tentu ia disabitkan dengan jenama Arabisasi, betapa penulisnya merupakan jelmaan semula Sibawayh atau Khalil buat umat Melayu.
Bahagian terakhir buku ini banyak mengitar semula isu-isu yang telah dibangkitkan dalam Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri namun masih lagi malar segar buat pembaca sekarang. Cumanya hujah-hujah penegasan Zaaba terutama dalam bab membanteras gejala taklid buta kelihatan sedikit canggung apabila dicelurkan dengan perkembangan religio-politik terbaharu. Yakinnya Zaaba dengan buah fikirnya itu sehingga dia menidakkan sebarang bacaan tempang atau pemahaman cacat ketimbang nas-nas agama dengan merasionalkan bahawa mana-mana bacaan yang diperoleh tentulah maknanya sudahpun terkandung dalam nas tersebut. Sehingga Zaaba menolak kemungkinan mana-mana faktor luaran hadir mencemari pemahaman nas tersebut seperti tujuan mengiakan nafsu atau memenangkan pihak sendiri diri atau taulan. -
Za'ba dalam banyak karya-karya beliau lebih cenderung melihat kelemahan orang Melayu dari faktor dalaman. Orang Melayu sendiri yang menjadi punca masalah kemunduran orang Melayu.
Maka dengan sebab itu, dalam tulisan-tulisan Za'ba selalu menyarankan dengan serius peri pentingnya perubahan teologi. Za'ba amat percaya bahawa teologi memainkan peranan yang ampuh dalam membentuk peribadi dan psikologi orang Melayu.
Sebab itu dalam karya-karya beliau, begitu banyak sekali dimasukkan ayat-ayat Al-Quran, hadith-hadith, pepatah-pepatah Arab, sejarah Islam demi mengibarkan semangat perubahan itu. Saya sendiri sangat kagum dengan penguasaan Za'ba menggunakan ayat-ayat Al-Quran, hadith dan pepatah Arab yang sangat tepat pada topik dan tema yang dibincangkan.
Begitu juga dalam buku ini, Mencapai Ketinggian Dunia Akhirat, Za'ba menggunakan paten yang sama. Mempunyai tiga bahagian yang mana ketiga-tiga bahagian dalam buku ini menekankan tentang perangai manusia. Bahagian ketiga adalah tentang Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri yang juga telah dimuatkan dalam buku yang diterbitkan semula oleh DBP baru-baru ini.
Menarik buku ini Za'ba mengupas tentang ketinggian yang mesti dicapai untuk dunia dan akhirat. Ketinggian dan kebesaran yang sebenar bagi Za'ba ialah apabila ketinggian dan kebesaran itu kekal sampai akhirat.
Ketinggian dan kebesaran pangkat yang didapati di dunia jika tidak berkait dengan akhirat bukanlah ketinggian dan kebesaran yang sebenar. Za'ba menempelak golongan yang terlalu mementingkan pangkat, darjat dan anugerah yang diperolehi di dunia sedangkan selepas mati semuanya akan hilang. Za'ba bandingkan dengan kehidupan ulama-ulama besar yang telah beribu-ribu tahun meninggal dunia, tetapi segala kitab, ilmu-ilmu mereka dan nama-nama mereka masih kekal disebut hingga kini. Kerana mereka itu mendapat ketinggian dan kebesaran yang sebenar yang kekal hingga ke akhirat.